Pengakap Kelana agih Bubur Lambuk

MUAR: Persekutuan Pengakap Daerah Muar dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Bakri Batu 5 dan Masjid Al-Hikmah menyampaikan 700 bungkusan bubur lambuk kepada orang ramai, semalam.

Pengerusi Pasukan Pengakap Kelana C Muar, Irfan Shazwan Samaden, berkata program pengagihan bubur lambuk dan sumbangan kepada asnaf tahun ketiga itu dilaksanakan setiap kali Ramadan.

Katanya, program itu adalah antara usaha Persekutuan Pengakap Daerah Muar, khususnya Pasukan Kelana C Muar untuk membudayakan aktiviti kemasyarakatan di daerah ini.

“Ia dapat dilihat menerusi program dengan kerjasama badan beruniform, pihak sekolah dan pengurusan masjid.

“Selain itu, kita mendapat kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Unit Kokurikulum SK Bakri Batu 5, untuk memasak bubur lambuk manakala barangan keperluan kepada asnaf adalah sumbangan orang ramai.

“Bagi program ini, kita memasak tujuh periuk bubur lambuk dan kemudian dimasukkan ke dalam 700 bungkusan plastik, sebelum diagihkan kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya di hadapan sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Komuniti Cahaya Ramadan dan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2018 di Masjid Al Hikmah di sini, semalam.

Yang turut hadir, Penasihat Persekutuan Pengakap Daerah Muar Pasukan Kelana C, Abdul Razak Bin Abdul Talib; Guru Besar SK Bakri Batu 5, Hamizan Ahad.

Pada program itu, seramai 10 ahli pengakap dan lebih 30 guru serta murid pasukan Pengakap SK Bakri Batu 5 mengambil bahagian dan turut memberi khidmat pesanan kempen keselamatan jalan raya kepada orang ramai.

Sementara itu, Hamizan ketika ditemui berkata, pihaknya menyambut baik program berkenaan kerana ia secara tidak langsung dapat membudayakan amalan kemasyarakatan dalam kalangan warga sekolah khususnya murid di SK Bakri Batu 5.

“Pihak sekolah mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana percaya amalan kemasyarakatan ini memberi nilai tambah dalam diri murid,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.